PULAU PINANG 25 Dis. – Meskipun tangkapan dilakukan hampir setiap hari, kegiatan warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di negeri ini terus berlaku.
Awal pagi ini, 47 lagi GRO dari Vietnam, China dan Thailand ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Jones di sini.
Pusat yang sama pernah diserbu awal tahun ini dan beberapa kali tahun lalu. Namun, seperti kebiasaannya, selepas beberapa minggu serbuan dilakukan, ia akan beroperasi semula dengan menggunakan perkhidmatan GRO baru.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Qadir Siddiq Ahmad berkata, dalam ‘Ops Sayang’ itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengurus di pusat hiburan berkenaan dan seorang lelaki warga Myanmar.
Katanya, kesemua GRO terbabit iaitu 28 warga Vietnam, 18 China dan seorang Thailand bertempiaran lari termasuk cuba meloloskan diri dari pintu depan dan belakang premis apabila pusat hiburan yang menjadi ‘sarang’ kegiatan tidak bermoral itu diserbu pihak imigresen.
Namun, cubaan GRO wanita yang berpakaian merah ala Santa Claus sempena sambutan Krismas itu tidak berhasil apabila mereka semua dicekup oleh pihak berkuasa.
“Tujuh pegawai dan anggota Jabatan Imigresen serta 19 pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang terlibat dalam operasi bersama yang bermula pada pukul 12.45 pagi hingga 4 pagi itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas 12 bilik karaoke di situ, kita menahan kesemua 47 GRO tersebut yang ketika itu melayan pelanggan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md. Yatim.
Kelmarin, 24 GRO warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Persiaran Gurney oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kerana dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Abdul Qadir berkata, hasil siasatan awal mendapati semua GRO berusia 20 hingga 30 tahun itu bukan sahaja menjalankan aktiviti tidak bermoral malah menetap di sini melebihi tempoh yang ditetapkan.
Katanya, semua wanita terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 55 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit.
“Pengurus premis pula akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi warga asing tanpa permit,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment