KUALA LUMPUR 25 Dis. – Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti berjumlah RM100,916,600 kepada para peneroka di tanah rancangan di seluruh negara mulai Januari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bonus itu sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.
Katanya, 94,281 peneroka yang menghantar hasil ke Felda dari Januari hingga Oktober tahun ini akan menerima bayaran RM400 (minimum) dan RM1,200 (maksimum) bergantung kepada jumlah penghantaran hasil.
“Kerajaan berharap pemberian bonus ini menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing pada masa hadapan.
“Pada masa sama, saya juga ingin mengajak semua peneroka menyertai program bersama Felda selaras usaha berterusan agensi ini untuk meningkat pendapatan peneroka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas jumlah penerima bonus, Najib berkata, ia melibatkan 83.7 peratus daripada keseluruhan 112,635 peneroka manakala baki 18,354 peneroka tidak layak menerimanya kerana tidak menghantar hasil kepada Felda.
Selain itu, jelas Perdana Menteri, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil kepada Felda serta hasil kurang daripada jumlah minimum ditetapkan, juga tidak layak menerima bonus itu.
Najib memberitahu, bagi peneroka sawit, kelayakan minimum menerima bonus ialah 8.01 tan per hektar manakala ganjaran maksimum membabitkan hasil lebih 17 tan per hektar dan ke atas.
Bagi peneroka getah, beliau berkata, kelayakan minimum ialah 600.01 kilogram per hektar dan ganjaran maksimum akan diberi kepada peneroka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kilogram per hektar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menjelaskan, Felda memberi pertimbangkan khas dalam bentuk wang tunai RM400 kepada 2,000 peneroka yang prestasi hasilnya tidak memuaskan atas beberapa faktor munasabah.
“Mereka yang diberi pertimbangan khas ini ialah peneroka yang sedang menunggu proses tanaman semula, kawasan kebun diambil untuk tujuan pembangunan serta tanaman rosak akibat penyakit ganoderma dan serangan kulat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment